PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta orang ramai berlaku adil dalam membuat perbandingan berhubung kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus seperti yang diumumkan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu.

Isu timbul selepas kenaikan tersebut disebut sebagai tertinggi dalam sejarah, namun ada pihak mendakwa kenaikan paling tinggi adalah sebanyak 35 peratus pada era pentadbiran perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2007.

"Bagi yang telah sebar tentang kenaikan sebanyak 35 peratus pada tahun 2007, mereka terlupa ada dua syarat penting. Mereka baca tajuk sahaja, tak teliti sampai hujung.

"Kenaikan 35 peratus itu merujuk pada golongan penjawat awam dalam kumpulan pelaksanan II Gred 1 dan beberapa gred ke atas.

"Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, memaklumkan kepada saya, pada waktu itu bagi gred 1, pendapatan mereka ialah RM800 sebulan.

"Keadaan ekonomi waktu itu dan sekarang juga sangat jauh berbeza. Jadi kalau nak ungkit (perbandingan), perlu berlaku adil kerana konteksnya cukup berbeza.

"Manakala bagi kumpulan tertinggi dalam perkhidmatan awam ketika itu kenaikan gaji ialah 7.5 peratus, jauh lebih rendah (berbanding tahun ini)," katanya ketika ditemui selepas perasmian pejabat Pakatan Harapan pertama di Putrajaya, pada Rabu.

Untuk rekod, penjawat awam telah diberikan kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus pada 2007, dengan Kumpulan Sokongan menikmati kenaikan sebanyak 35 peratus dan Kumpulan Tertinggi 7.5 peratus.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pada Rabu mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, sekali gus yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.